Oleh Hafiz Awang
fikrahpahang@fikrahpahang.gmail.com.my
BERA: Operasi membabitkan pemusnahan bom lama peninggalan British seberat kira-kira 226 kilogram yang ditemui di Felda Triang 1, di sini, Isnin lalu, sudah dimusnahkan hari ini.
Dua letupan, masing-masing pada 11.30 pagi dan 11.53 pagi, memberikan kelegaan buat lima ratus penduduk yang terpaksa mengosongkan rumah, kira-kira 8 pagi.
Operasi meletupkan bom dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman membabitkan 30 anggota dan pegawai di samping dibantu UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Selain itu, Unit Dron dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut membantu bagi memantau keselamatan.BERA 06 AUGUST 2021. Proses pelupusan bom lama, yang dijumpai oleh penduduk kampung di Felda Triang 1. Sebuah bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) jenis Aerial Bom seberat 500 paun atau 226 kilogram dipercayai tinggalan pihak British, ketika digunakan pada masa perang dunia kedua. FIKRAH PAHANG /HAFIZÂ AWANG
Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe), Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, polis menggunakan dua kaedah untuk memusnahkan bom berkenaan.
“Tapi, apa yang paling penting, jangan usik jika sesiapa menemui bom lama. Jangan disentuh dan usah dialihkan. Terus melaporkannya kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin, berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan penduduk sepanjang operasi berkenaan.
“Kita mendapat kerjasama penuh penduduk dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sejak penemuan bom itu, pada Isnin lalu,” katanya.