Oleh Mohd Fikri Mie
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota, di sini, melakukan 53 sanitasi terhadap kenderaan agensi kerajaan yang digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 di negeri ini.
Selain itu, sekurang-kurangnya 67 pejabat kerajaan dan swasta di daerah ini turut disanitasi, sejak Julai lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ismail Abd Latif, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota diberi tanggungjawab sebagai pusat sanitasi kenderaan, sejak tahun lalu.
Menurutnya, selain kenderaan dan pejabat, pihaknya turut melakukan sanitasi di sekolah dan dewan yang dijadikan pusat Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Katanya, tiga PPV utama di Dewan Sukpa, Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan Dewan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan disanitasi secara berterusan sepanjang PPV itu beroperasi.
“Kita turut bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan melakukan sanitasi di kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan aktiviti sanitasi terhadap kenderaan, dewan, pejabat dan PPV selagi diperlukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.