Bomba Pahang bantu mangsa banjir di Terengganu 

Bomba Pahang bantu mangsa banjir di Terengganu 

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menghantar lima bot bersama 10 anggota ke Terengganu bagi misi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya akan menambah jumlah anggota dan logistik sekiranya keadaan banjir di negeri jiran itu semakin buruk.

“Misi bantuan turut membawa bersama lima unit kenderaan pacuan empat roda yang diharap dapat melancarkan lagi operasi memindahkan mangsa banjir.

“Kita akan memantau perkembangan bencana banjir di Terengganu dan Kelantan. Sekiranya keadaan memerlukan lebih banyak bantuan akan dihulurkan,” katanya.  

Menurutnya, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan JBPM Terengganu dan Kelantan bagi mendapat maklumat terkini bencana banjir di dua negeri berkenaan sebelum sebarang keputusan menghantar bantuan dibuat.

Wan Mohammad Zaidi berkata, pihaknya juga kini sentiasa memantau keadaan banjir yang berlaku di negeri ini walaupun bencana tidak terlalu membimbangkan. – MOHD IMRAN IZZAD