Bonus penjawat awam jauh lebih sedap tahun depan

Bonus penjawat awam jauh lebih sedap tahun depan

KUANTAN: Bonus penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini yang akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 Pahang di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi, bakal menyaksikan peningkatan ketara berbanding sebelum ini.

Perkara itu disahkan sendiri YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada program Pahang Berselawat Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisik di sini, malam tadi.

Untuk rekod, dalam tahun pembentangan Belanjawan 2022 Pahang tahun lalu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,200 kepada setiap kakitangan awam di Pahang.

Katanya, ia dapat dilaksanakan memandangkan sasaran hasil negeri sebanyak RM1 bilion tahun ini, dijangka tercapai dalam masa terdekat.

“Setakat ini hasil negeri Pahang mencecah RM951 juta, sudah hampir dengan sasaran RM1 bilion tahun ini.

“Untuk penjawat awam yang saya tengok ada ramai di sini malam ini (malam tadi), saya nak beritahu, bonus yang akan diberikan adalah jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Program Pahang Berselawat yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 orang itu turut dihadiri EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Mufti Pahang Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali selain pakar hadis, Sheikh Mustafa An-Nadwi dab tokoh agama terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid. – HELMY ABD RAHMAN