Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
Gambar Mahathir Ali
PEKAN: Ketua UMNO Bahagian Pekan YB Dato’ Sri Najib Razak mahu UMNO mesti melihat ke hadapan dan meningkatkan kekuatan politik dalaman sendiri.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, UMNO tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak lain dan harus berjuang di atas kakinya sendiri.
“UMNO Pekan tetap mampu menyumbang kejayaan di peringkat nasional termasuk sekali lagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Najib berkata demikian pada majlis perasmian serentak Persidangan Tahunan Cawangan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Amphitheater Bangunan UMNO Pekan di, sini hari ini.
Ucapan Najib itu dikongsikan Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Pada majlis perasmian itu, Najib mengingatkan semua kepemimpinan UMNO Pekan supaya jangan bermewah, sombong dan berlagak dalam apa jua dilakukan kerana rakyat tidak suka pemimpin sebegitu.
“Jadilah pemimpin yang disenangi, disukai dan disayangi rakyat. Rakyat lebih senang dan rapat dengan pemimpin seperti ini.
“Inilah asas kemenangan dan kekuatan kita UMNO sejak dahulu. Semua peringkat kepimpinan UMNO termasuk di akar umbi haruslah mengambil berat dan beri perhatian sepenuhnya berkenaan perkara ini,” katanya.
Najib juga amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang memacu negeri dan menjaga UMNO Pahang dengan baik hingga meninggalkan kesan amat mendalam di hati rakyat.
Katanya, YAB Menteri Besar itu amat mengambil berat dan sering membantu UMNO Bahagian Pekan dalam bentuk pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat.
“Idea Menteri Besar yang mengambil berat berkenaan pengundi berumur 70 tahun ke atas dan golongan berumur 21 hingga 25 tahun adalah satu pembaharuan yang akan dilaksanakan.
“Ia juga satu cara bagaimana Kerajaan Pahang ditunjangi UMNO dapat terus membantu rakyat,” katanya.