Bot amfibia dan hoverkraf mungkin diletakkan di balai bomba

Bot amfibia dan hoverkraf mungkin diletakkan di balai bomba

KUANTAN: Kerajaan negeri yang akan membeli tiga bot amfibia dan sebuah hoverkraf tidak lama lagi, bercadang meletakkan kenderaan itu di balai bomba di beberapa lokasi sering dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwa Agama Islam dan Pendidikan Pahang yang juga Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ia bagi memudah cara pasukan bomba menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya, pembelian kenderaan air canggih itu menggunakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM35 juta oleh kerajaan negeri bagi menngkatkan kecekapan pengurusan banjir di Pahang seperti diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, 26 Mei lalu.

“Bot-bot canggih ini kita (kerajaan negeri) cadang untuk diletakkan di balai bomba, namun ia bergantung kepada keutusan DO (pegawai daerah) yang terbabit.

“DO akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sebelum membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan timbalannya, Mohd Zahar Abdullah.

Seramai 46 PBB menamatkan latihan asas kebombaan selama 10 hari bermula 21 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, berkata kerajaan negeri berterima kasih dan amat menghargai langkah JBPM Pahang mengadakan latihan dan pengambilan berkenaan.

Sementara itu, Dr Wan Mohammad Zaidi berkata, semua pelatih terbabit akan ditempatkan segera di balai bomba mengikut keperluan.

“Ia termasuk di balai-balai baharu antaranya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krau dan Kuala Tahan yang akan dirasmikan dan beroperasi tidak lama lagi,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN