BPP tambahan COVID-19: Rakyat Pahang bersyukur, anggap bantuan tepat pada masanya

BPP tambahan COVID-19: Rakyat Pahang bersyukur, anggap bantuan tepat pada masanya

Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Izzah Yusoff

KUANTAN: Penduduk di negeri ini meluahkan rasa syukur apabila Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan dana tambahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 sebanyak RM9.3 juta secara bersasar kepada penduduk Pahang bagi meringankan beban rakyat termasuk peniaga-peniaga kecil yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD).

  Rata-rata yang ditemui Fikrah Pahang memberitahu bantuan itu tepat pada masanya dan amat diperlukan bagi menempuh detik sukar dek kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.

Penghantar makanan, Fauzi Marlis, 35

  Pemandu e-hailing, Azmi Kamarulzzaman, 65, berkata, dia mengalu-alukan bantuan tambahan itu, lebih-lebih lagi ketika ini amat sukar memperoleh pelanggan.

  “Kita (saya) mengalu-alukanlah bantuan tambahan yang diberikan… sekarang ini memang payah nak cari pelanggan dan inilah sahaja kerja yang boleh dilakukan. Kita dah tua-tua ni penyakit pun macam -macam,” katanya ketika ditemui di Bukit Sekilau, semalam.

Pemandu grab, Azmi Ilyas Kamarulzzaman, 65

  Penghantar makanan, Fauzi Marlis, 35, berkata, sumbangan berkenaan sememangnya amat diperlukan untuk membantu dia dan keluarga yang terjejas pendapatan disebabkan PKP 3.0 dan PKPD.

  Sementara itu, laman Facebook (FB) rasmi Wan Rosdy juga dipenuhi dengan pujian oleh netizen yang terdiri daripada pelbagai golongan dan kaum, berikutan pengumuman inisiatif tambahan itu.      

  Pengusaha kantin menggunakan nama profil FB Ummi Kalthom berkata, bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantunya apabila perniagaan dijalankan berdepan kerugian.

  “Enam pekerja saya terpaksa mencari kerja lain, ada yang kerja buruh am, ada kerja kedai makan dan saya sendiri terpaksa berniaga kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan,” katanya.

  Goh Ming Tze pula memuji Wan Rosdy yang mengambil berat kesusahan rakyat sekarang.

  “Terbaik YAB MB Pahang yang cakna dan mengambil berat kesusahan rakyat pada masa ini,” katanya.