Buat sidang media umum sokong PM atau tidak – Najib

Buat sidang media umum sokong PM atau tidak – Najib

 

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Najib Razak mencadangkan supaya ahli parlimen terutama yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang media bagi mengumumkan pendirian masing-masing, sama ada masih menyokong atau menarik sokongan kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana akuan bersumpah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin di luar Parlimen, tidak laku.

“Itu (SD) cuma kertas dan air liur. Seorang ahli Parlimen boleh tanda tangan dua atau tiga versi akuan bersumpah yang berlainan. Buat PC (sidang media) umum tarik sokongan pada PM (seperti yang saya buat Khamis lalu) atau kata secara umum sokong PM atau tukar tempat duduk dalam Dewan pun tak berhasil.

“Sebab itu, Yang di-Pertuan Agong sudah empat kali bertitah agar parlimen sambung bersidang dan ordinan-ordinan darurat dibahas (dan diundi) dalam dewan, supaya boleh buktikan pada semua secara umum termasuk kepada YDP Agong sama ada PM memperoleh sokongan majoriti atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini. 

Menurutnya, undian dalam Dewan Rakyat yang menjadi bukti paling jelas dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa termasuk Peguam Negara.

“Tidak perlu turun untuk berguling-guling kat jalan raya pada masa pandemik. Kerajaan PN faham bahawa usaha paling kuat mereka dalam tempoh Darurat tujuh bulan untuk mengugut atau membeli lebih ramai katak bagi mendapatkan sokongan majoriti sudah gagal.

“Mereka faham sudah tiada sokongan majoriti. Sekiranya usul-usul dibawa Kerajaan ke Dewan asyik kalah undi, maka ia bukti paling jelas bahawa Muhyiddin perlu undur secara terhormat,” kata Ahi Parlimen Pekan itu.