Buaya berjemur jadi tumpuan penduduk Taman Sungai Isap Jaya

Buaya berjemur jadi tumpuan penduduk Taman Sungai Isap Jaya

KUANTAN: Kemunculan seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira tiga meter berjemur di tebing tali air di Taman Sungai Isap Jaya, di sini pagi tadi, mencuri tumpuan penduduk sekitar taman terbabit.  

Kehadiran reptilia itu disedari penduduk kira-kira jam 8 pagi dan sebahagian mereka  mengambil kesempatan merakam gambar dan video haiwan buas berkenaan. 

Penduduk, Abdul Rahim Othman, 62, berkata situasi itu jarang dapat dilihat walaupun ada segelintir penduduk pernah melihat kelibat buaya di tali air berkenaan. 

“Saya sendiri pernah nampak buaya dalam tali air ini, tapi belum pernah lihat buaya naik ke darat dan berjemur seperti ini. 

“Buaya itu hanya berjemur di tebing tali air hampir dua jam sebelum masuk semula ke dalam air dan tenggelam,” katanya di sini, hari ini. 

Abdul Rahim berkata, sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakan sedang bersarapan di warung berdekatan tali air berkenaan sebelum diberitahu mengenai kemunculan buaya terbabit. 

Katanya, daripada cerita penduduk sekitar, kemungkinan besar terdapat tiga ekor buaya di dalam tali air berkenaan berdasarkan saiz buaya yang mereka lihat sebelum ini dikatakan berbeza. 

“Mengikut cerita beberapa penduduk di sini, kemungkinan buaya berkenaan terperangkap dalam tali air ini selepas pihak berkuasa membina perangkap sampah di hujung tali air yang bersambung dengan Sungai Belat. 

“Walaupun buaya berkenaan tidak menggangu penduduk, saya berpendapat ia wajar dipindahkan semula ke habitat asalnya,” katanya. – FATH AHNAF