KUANTAN: Resipi tradisional Pantai Timur yang menggunakan ikan tenggiri segar menjadi kelebihan bubur lambuk yang dihasilkan penduduk Balok Maju.
Justeru, tidak mustahil hanya dalam kira-kira sejam, tujuh ratus bekas bubur yang disediakan habis diedarkan kepada penduduk setempat dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.
Program itu julung kali diadakan dengan kerjasama PKD Kuantan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Maju dan surau Balok Maju.
Program tanggungjawab sosial korporat PKD Kuantan itu diadakan bagi memeriahkan sambutan Ramadan selain mengeratkan lagi hubungan antara PKD Kuantan dan Klinik Kesihatan Balok dengan penduduk setempat.
Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu yang merasmikan program yang diadakan secara gotong-royong itu menyuntik lagi keceriaan majlis itu.
Hadir sama pegawai menanggung tugas Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr Roslaili Khairudin. – MOHD IMRAN IZZAD.