Budak 11 tahun ditemui lemas di Sungai Triang

Budak 11 tahun ditemui lemas di Sungai Triang

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

BERA: Kegembiraan satu keluarga yang singgah mandi-manda di Sungai Triang, dekat Kampung Bukit Keledang, Mengkarak, di sini,  bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin, berkata mangsa dikenali sebagai Abraham Baraq Mohd Khairuddin, 11, dari Kampung Sri Buntar.

“Kejadian pada 6.30 petang semalam. Ketika itu, mangsa bersama empat ahli keluarganya menuju ke kebun mereka berdekatan sungai terbabit. 

“Namun, empat daripada mereka termasuk mangsa singgah ke sungai untuk mandi-manda sebelum mangsa dilihat terkapai-kapai dihanyutkan arus deras. 

“Kejadian itu disedari abang mangsa yang cuba menarik adiknya itu ke tepi namun gagal berikutan arus deras dan sungai yang dalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Katanya, kejadian itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan dan dihentikan pada 9.30 malam. 

BERA.. pasukan penyelamat dan penduduk kampung berusaha mengeluarkan mayat kanak-kanak 11 tahun yang lemas di Sungai Triang.

“Operasi SAR disambung semula hari ini pada kira-kira 8 pagi membabitkan 44 orang termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung

 “Mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung dari arah seberang sungai selepas tersangkut pada jaring yang dipasang penduduk kampung, pada 9.30 pagi tadi. 

“Pasukan penyelamat terdiri daripada  polis, bomba dan APM bergegas ke tempat mangsa ditemui iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa mandi. 

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan pada 10.30 pagi tadi,” katanya.