.
Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Buka semua sektor pelancongan terutama pulau di sebelah timur Semenanjung, saran Kerajaan Pahang.
YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Kerajaan Persekutuan wajar memberikan perhatian terhadap cadangan itu memandangkan musim monsun bakal tiba pada penghujung tahun.
“Bukan Pulau Tioman sahaja, tetapi pulau di timur Semenanjung antaranya Redang, Perhentian dan pulau di beberapa negeri lain mesti dibenarkan beroperasi segera kerana hanya dalam tempoh dua bulan iaitu Oktober dan November pelancong dibenarkan datang ke kawasan peranginan itu.
“Pada Disember hingga Mac, sektor pelancongan di kawasan berkenaan ditutup disebabkan musim monsun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, cadangan mengenai perkara itu akan dikemukakan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, pihaknya menyambut baik dan bersetuju untuk membuka gelembung pelancongan domestik di Pulau Tioman.
“Sebanyak 103 bilangan hotel berdaftar dengan kapasiti 1,821 bilik dan 30 pusat selam skuba dan 88 pemandu bot bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.
“Bagaimanapun kita akan terus mengawal pergerakan keluar dan masuk pelancong ke Pulau Tioman dengan membuka satu laluan masuk sahaja iaitu melalui jeti Tanjung Gemok di Rompin bagi mengelak risiko penularan Covid-19,” katanya.
Selain itu, Mohd Sharkar berkata, kerajaan Pahang meminta beberapa lagi lokasi pelancongan di negeri itu dibuka memandangkan ada yang sudah mencapai imuniti kelompok dari 95 hingga 100 peratus.
“Jika boleh, benarkanlah pelancong datang ke Taman Negara dan Kuala Tahan di Jerantut; Janda Baik (Bentong); Bukit Fraser (Raub), Kuala Gandah (Temerloh); Taman Negeri (Rompin) dan Cameron Highlands.
“Semua lokasi berkenaan sudah bersedia menerima kehadiran pelancong dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.