Bukalah semula Pulau Tioman wahai KKM, MKN

Bukalah semula Pulau Tioman wahai KKM, MKN

Oleh Husin Ibrahim 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

ROMPIN: Warga industri pelancongan Pulau Tioman amat mengharapkan agar mereka mendapat kebenaran segera daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kembali beroperasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, berkata ia bagi mengelak industri pelancongan di Pulau Tioman daripada lumpuh.

Mohd Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, berkata apatah lagi pulau itu akan ditutup semula apabila tibanya musim tengkujuh yang lazimnya bermula Oktober depan.

“Sekurang-kurangnya dalam tempoh sesingkat ini iaitu pada Ogos dan September, dapatlah juga penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada penggiat industri pelancongan boleh memperoleh sedikit pendapatan bagi menampung kehidupan mereka. 

“Malah, vaksinasi penduduk sudah pun lengkap dua dos dan mencapai imuniti kelompok Kawasan bebas pula daripada sebarang kes Covid-19, ” katanya selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 107 pengusaha pelancongan dalam daerah Rompin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 107 pengusaha pelancongan dalam daerah Rompin.

Turut hadir adalah Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamaruddin Ibrahim; Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek dan Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Budjet Malaysia, Mohammad Daniel Abdullah. 

“Semua aspek peraturan dan keperluan sudah pun diperkemaskan bagi menerima kehadiran pelancong. Mereka kini hanya menunggu lampu hijau KKM dan MKN,” kata Mohd Johari.