KUANTAN: Projek tanaman cili fertigasi dalam dua ribu polibag untuk komuniti lorong Wong Ah Jang dijangka dapat menghasilkan kira-kira 200 kilogram (kg) cili segar.
Projek yang diusahakan oleh lima individu sejak Julai lalu dan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pada Ogos lalu, kini mula mengeluarkan hasil di antara 10 dan 15 kilogram cili sehari.
Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin, berkata semua hasil dijual terus pada harga borong RM10 sekilogram kepada usahawan tempatan yang terbabit menghasilkan produk berasaskan cili.
“Saya berpuas hati pencapaian projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang yang membuktikan kesungguhan dan berakhir dengan kejayaan membanggakan. Kita akan tambah lebih 2,500 polibag pada pusingan kedua penanaman tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai acara mengutip hasil pertama projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini, semalam.
Badrul Jamili berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang sebagai produk agro pelancong yang memberi peluang kepada pelancong datang melihat projek berkenaan sambil memungut hasil.
Katanya, pihaknya juga akan menambah jumlah peserta daripada lima kepada 10 individu pada pusingan kedua projek berkenaan. – MOHD IMRAN IZZAD