Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kesal dengan dakwaan tidak tepat segelintir pihak kononnya dua kejadian bencana alam berlaku di Cameron Highlands.
Beliau berkata, kejadian pertama iaitu tanah runtuh hingga menyebabkan penutupan jalan Simpang Pulai-Blue Valley tidak berlaku di Cameron Highlands, sebaliknya di daerah Kinta, Perak.
“Kejadian tanah runtuh itu ialah di KM 43.95 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang berada dalam daerah Kinta, Perak akibat kegagalan cerun.
“Susulan itu, laluan berkenaan ditutup sepenuhnya sejak semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau juga kesal apabila ada pihak menularkan rakaman video banjir lumpur di media sosial dengan mendakwa ia berlaku di kawasan tanah tinggi itu.
“Saya juga kesal dengan paparan video di media sosial mengaitkan banjir lumpur yang kononnya turut berlaku di Cameron Highlands sedangkan ia berlaku di tempat lain.
“Saya berharap dengan penjelasan ini, rakyat tidak terkeliru dengan apa yang sebenarnya berlaku khususnya membabitkan kawasan popular seperti tanah tinggi Cameron Highlands,” katanya.