Bukan rezeki kami, kata Jamal Nasir dan Ahmad Yusof

Bukan rezeki kami, kata Jamal Nasir dan Ahmad Yusof

Oleh Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

DUA bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail dan Ahmad Yusof, kecewa apabila mereka tidak disenaraikan sebagai ahli Kelab Abad Fifa (Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa).

Jamal berkata, dia kurang faham mengapa dirinya, Ahmad Yusof dan enam pemain kebangsaan lain disenarai sebagai ahli Kelab Abad AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tetapi tidak dipilih menyertai Kelab Abad Fifa. “Saya terkejut juga apabila dimaklumkan tidak disenaraikan atas tidak menepati syarat jumlah perlawanan antarabangsa sedangkan 111 kali saya menyumbang tenaga buat pasukan negara. Mungkin bukan rezeki,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail (lima dari kiri) dan Ahamd Yusof (dua dari kiri) bersama pemain kebangsaan lain ketika menerima Keanggotaan Kelab Abad AFC pada 1999.

Beliau berkata, mungkin pengiraan jumlah perlawanan antarabangsa antara AFC dan Fifa tidak sama, terutama membabitkan perlawanan berstatus A. Jamal Nasir berkata, dia difahamkan hanya enam rakannya, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Shukor Salleh, Zainal Abidin Hassan, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan R Arumugam disenaraikan sebagai ahli Kelab Abad Fifa.

Sementara itu, Ahmad Yusof pula menyatakan bahawa dia mempunyai 103 caps bersama skuad kebangsaan bagi perlawanan antarabangsa. “Mungkin saya belum layak di peringkat Fifa. Bagaimanapun, saya tetap bangga menjadi antara lapan pemain kebangsaan yang disenaraikan sebagai anggota Kelab Abad AFC,” katanya