“PEMAIN telah berusaha sedaya upaya untuk mencatat kemenangan namun rezeki tidak berpihak kepada pasukan Pahang Rangers FC.
“Babak pertama kita mendahului lawan 1-0, namun sedikit kelekaan babak kedua Selangor MAC bangkit,” kata jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas.
Pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam Selangor, semalam, skuad Pahang Rangers FC terpaksa akur tewas tipis 3-4 kepada Selangor MAC.
Casas berkata, dia berbangga dan berpuas hati dengan semangat melawan yang dipamerkan pemain apabila berusaha memburu gol hingga ke minit terakhir permainan sebelum terpaksa menerima hakikat kekalahan.
Menurutnya, corak permainan menyerang pada babak pertama permainan dianggap berkesan, namun sedikit kelekaan pada babak kedua membuka ruang lawan menghasilkan empat gol.
“Saya tidak menyalahkan pemain akibat kekalahan semalam kerana mereka telah berusaha sedaya upaya, cuma nasib tidak menyebelahi kita,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD