Bukit Merah mercu pelancongan baru di Jerantut

Bukit Merah mercu pelancongan baru di Jerantut

Pelancaran pusat pelancongan baru Bukit Buluh (Bukit Merah) di Felda Padang Piol

Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com

JERANTUT: Orang ramai boleh meluangkan masa menikmati alam semulajadi di Bukit Merah yang semakin popular dalam kalangan pencinta alam.
Bukit Merah yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Buluh terletak di Felda Padang Piol, berketinggian 371 meter dari aras laut menjadi produk pelancongan baru di daerah ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris berkata, keunikan Bukit Merah boleh dilihat rimbunan pokok kelat gelam atau nama saintifiknya Eugenia Cerina daripada keluarga Myrtaceae di puncak bukit.
“Batang, daun dan akarnya berwarna merah dan hamparan daun kering berwarna merah seperti permaidani menjadikan pemandangan ini sungguh cantik seolah-olah berada di luar negara.
“Keunikkannya tumbuhan ini tidak terdapat di tempat lain dan akan menjadi satu tarikan baru kepada pencinta alam semulajadi dan pendaki.
“Bukit ini mula tular di media sosial dan menjadi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu, bukan sahaja pengunjung dari sekitar Pahang tetapi juga dari luar Pahang,” katanya selepas melancarkan pusat pelancongan baru Bukit Buluh (Bukit Merah) di Felda Padang Piol, hari ini.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tahan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Pengarah MOTAC Negeri Dato’ Idrus Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar.
Sehubungan itu, Ahmad Nazlan berharap pengunjung menjaga keindahan khazanah alam ini dan terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.
Ahmad Nazlan berkata, lokasi ini juga terletak di laluan ke Taman Negara.
Justeru, katanya,secara tidak langsung memberi peluang kepada belia tempatan menjadi pemandu pelancong disamping menjana peluang ekonomi selain peneroka boleh menyediakan kemudahan inap desa untuk pengunjung bermalam sebelum ke Taman Negara.