Bunuh politik wang, tegas Tok Mat Hasan

Bunuh politik wang, tegas Tok Mat Hasan

KUALA LUMPUR: Perangi dan ‘bunuh’ penularan politik wang dalam parti, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, seandainya tidak dibendung, ia boleh menjadi ancaman yang akan membunuh UMNO dari dalam.

“Kita mesti membunuh politik wang sebelum politik wang membunuh UMNO. UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya.

“Kita harus beriltizam untuk memerangi politik wang dan mematikannya kerana ia menjerumuskan UMNO ke tahap sekarang. Bukan saja tewas, malah parti kita semakin lemah dan tiada ketahanan,” katanya pada ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, setiap daripada ahli parti perlu mempunyai keazaman yang kuat untuk mengembalikan semula UMNO menjadi parti paling bersih, berwibawa dan berkesan dalam mewakili kepentingan Melayu, Malaysia  dan Islam.

“Kita mesti melupakan nafsu untuk berkuasa, dengan sebesar-besar kekuasaan sekali gus meraih semula kepercayaan dan menawan hati rakyat.

“UMNO ketika ini berada pada kedudukan paling susut dan kritikal. Maka, tugas dan amanah kita pada kali ini amat berat. 

“Kita mesti bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku itu dengan kental dan sabar seperti pernah dipamerkan pendiri UMNO terdahulu yang merintis jalan menubuhkan UMNO tanpa punya apa-apa sehinggalah UMNO menjadi parti yang memerintah selama enam dekad,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN