Cacing pun boleh jadi sumber rezeki kalau kita rajin

Cacing pun boleh jadi sumber rezeki kalau kita rajin

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

pic Fath Ahnaf

KUANTAN: Memiliki hobi adalah perkara biasa tetapi jika masa lapang diisi dengan menternak cacing mungkin kegemaran itu ada kelainan dan unik. 

Itulah yang dilakukan pembantu operasi, Mohd Amirul Mustafa, 24, dari Kampung Peramu, di sini, yang memilih untuk menternak cacing sebagai hobinya.

KUANTAN…Mohd Amirul meletakkan kulit tembikai sebagai makanan cacing yang diternak di rumahnya.

Mohd Amirul berkata, dia mula menternak cacing jenis African Night Crawler (ANC) dan Redworm ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan kini memiliki kira-kira 8,000 cacing di rumahnya.

“Semuanya bermula apabila saya menonton video di media sosial mengenai kaedah pembiakan cacing jenis ini dan kemudian timbul minat untuk membuatnya sendiri. Tapi, hanya sebagai hobi.

“Saya kemudian membeli 100 anak cacing secara ‘online’ dan mula menternaknya sehingga ia membiak seperti sekarang,” katanya ketika ditemui di kediamannya. 

Katanya, fungsi kedua-dua jenis cacing itu adalah untuk menghasilkan tanah kompos yang dikenali ‘black gold’ kerana kesuburan tanahnya. 

Mohd Amirul berkata, menternak cacing tidak memerlukan penjagaan rapi dan kos yang tinggi kerana haiwan itu hanya diberi makan dua minggu sekali iaitu buah-buahan yang sudah rosak.

“Namun, tanah perlu disiram air untuk mengekalkan kelembapan selain perlu memindahkan sebahagian cacing ke tong lain apabila ia membiak terlalu banyak,” katanya.