Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Sebanyak 12 keluarga mengandungi 59 orang penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PRRT) di Desa Al Ayubi, Padang Rumbia, di sini, dicadangkan untuk dipindahkan ke kawasan yang bebas daripada banjir.
Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli berkata, ini kerana setiap kali tiba musim banjir, penduduk di situ akan menghadapi masalah sama ada rumah ditenggelami air atau laluan masuk ke kawasan kediaman mereka ditenggelami air paling kurang 0.5 meter.
Menurutnya, semasa banjir baru baru ini, mereka semua dipindahkan ke pusat pemindahan sementara terdekat walaupun rumah mereka tidak ditenggelami air.
“Namun laluan masuk ke rumah mereka tidak boleh dilalui langsung oleh kenderaan darat dan keadaan ini berlarutan sehingga lebih seminggu.
“Ini menyebabkan mereka menghadapi masalah perhubungan walaupun air banjir telah surut dan mereka telah kembali ke rumah masing masing,” katanya selepas melawat kawasan tersebut semalam.
Zaliza berkata, beliau akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat dan memohon agar disediakan kawasan baru untuk penempatan penduduk di kawasan berkenaan.