Cakna terus Kerajaan Pahang

Cakna terus Kerajaan Pahang

PEKAN: Meneruskan caknanya kepada rakyat negeri ini, Kerajaan Pahang hari ini mengagihkan bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM151,500.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata penerima hari ini meliputi sembilan sekolah di Kuantan, Pekan dan Rompin serta 31 taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kuantan dan Pekan.

Katanya, sumbangan turut disalurkan kepada enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk digunakan bagi membiayai pelbagai aktiviti.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menyempurnakan amanah daripada Kerajaan Pahang untuk membantu sekolah-sekolah, TABIKA KEMAS dan NGO dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM151,500.

“Peruntukan ini untuk sekolah dan TABIKA yang terkesan akibat banjir… contohnya untuk membeli almari dan ‘air-cond’ (pendingin hawa) dan NGO menjalankan pelbagai aktiviti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Sumbangan Kerajaan Pahang kepada Pelbagai Pusat Pengajian dan NGO di Kulliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Sekolah yang menerima sumbangan terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Tas, Kuantan; Sekolah Kebangsaan (SK) Panching, Kuantan; SK Kinchir, Pekan; SK Pelak, Pekan; SK Paloh Hinai, Pekan; SK Pulau Manis, Pekan; SK Padang Rumbia, Pekan; SK Temai, Pekan dan SK Kampung Acheh, Pekan.

Antara TABIKA KEMAS terbabit pula ialah TABIKA KEMAS Kampung Sungai Isap, Kuantan; TABIKA KEMAS Kampung Paya Bungor, Kuantan; TABIKA KEMAS Kampung Belukar, Kuantan; TABIKA KEMAS Kampung Sungai Miang A dan B, Pekan. – HELMY ABD RAHMAN