KUANTAN: Gendang PRU15 sudah dipalu dan nampaknya rakyat semakin tidak sabar untuk melihat wajah calon yang akan bertanding untuk merebut kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beberapa pengundi yang ditemui jelas mahukan wakil yang berjiwa rakyat dan boleh bekerja dengan baik tanpa mengira calon itu muda atau tua, baharu atau lama.
Suri rumah, Siti Zuraina Mohd Ariff, 46, berkata, Pahang kubu kuat UMNO dan BN dan tidak ada sebab untuknya memilih calon parti lain kerana kerajaan negeri sudah terlalu banyak menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyatnya.
“Saya tak kisah calon itu tua atau muda, orang baharu atau lama. Apa yang penting biarlah yang mampu buat kerja dengan baik, bantu rakyat dengan ikhlas dan dari sebuah kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sharel Hamezzee Abdul Hadi, 25, pula berkata kestabilan politik, ekonomi, sosial dan keprihatinan kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tidak perlu dipertikaikan lagi.
“YAB Menteri Besar sudah melakukan yang terbaik untuk Pahang dan saya yakin calon yang bakal dipilih juga mampu menggalas tanggungjawab sepertinya.
“Justeru, calon wakil rakyat yang saya mahukan mestilah Islam, berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat tentang anak muda,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat percetakan, di sini.
Pengundi muda, Mahirah Fasehah Ahmad Termizi, 20, pula berkata, dia lebih mengutamakan latar belakang calon dan bukan hanya bersandarkan parti.
“Bagi saya, sama ada calon itu muda atau tua biarlah dia bertanggungjawab dalam menggalas tugas dan memiliki aura kepimpinan yang tinggi.
“Saya mahukan calon yang mempunyai wawasan, tidak memainkan isu perkauman dan anak tempatan yang memahami siatuasi tempat akan diwakilinya,” kata penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu. – NUR HANNAH KHADIJAH