JERANTUT: Bagi calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, Faezah Ishak, cabaran dilaluinya sepanjang berkempen apabila terpaksa meredah lumpur dan sungai dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD), motosikal dan bot bukanlah masalah besar walaupun beliau seorang wanita.
Faezah, 35, yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jerantut berkata, sebagai anak peneroka yang masih muda, beliau tidak gentar bertanding di DUN Tahan yang dikenali antara kubu kuat PAS.
Menurutnya, beliau mempunyai keyakinan tinggi untuk bersaing menentang lawan sekali gus merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Dalam tempoh berkempen ini, saya akan mengunjungi semua kampung tradisi dan perkampungan Orang Asli selain FELDA dengan banyak berziarah dari rumah ke rumah.
“Saya meletakkan enam fokus utama di DUN ini antaranya saya akan memajukan lagi sektor pelancongan iaitu secara khususnya bidang agro dan ekopelancongan bukan sahaja di Kuala Tahan tetapi juga kampung tradisi di pesisir Sungai Tembeling yang kaya dengan flora dan faunanya.
“Limpahan ekonomi dibawa pelancong dari Taman Negara di Kuala Tahan harus direbut oleh masyarakat kampung sekitar dengan menyedia pelbagai pakej menarik,” katanya.
Tambahnya, dengan bantuan kerajaan negeri dan agensi kerajaan, beliau juga berhasrat menjadikan kawasan Kuala Tembeling, Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling serta dua tanah rancangan FELDA di DUN berkenaan sebagai hub pengeluaran hasil pertanian komersial dengan menggunakan kaedah moden membabitkan penyertaan anak muda.
“Pada masa sama, usaha meningkatkan kemudahan infra penduduk termasuk di penempatan Orang Asli selain meningkatkan kesedaran pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli di DUN Tahan akan ditingkatkan.
“Saya juga akan meningkatkan pelan tindakan kesiapsiagaan menghadapi banjir kerana banyak kampung di pesisir sungai Tembeling ini sering dilanda banjir,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE