PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pekan, Dato’ Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali, menanam tekad untuk menggunakan ‘acuan’ digunakan penyandang kerusi berkenaan, Dato’ Sri Najib Razak untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.
Untuk itu, beliau berjanji menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk rakyat Pekan seandainya memang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk cuba mengikut acuan digunakan bekas Dato’ Sri Najib Razak yang begitu disenangi semua peringkat golongan masyarakat di daerah ini.
“Walaupun berat amanah yang diberikan pucuk pimpinan, namun dengan pengalaman selama dua penggal sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Peramu Jaya, saya yakin mampu menggalas tugas ini,” katanya, hari ini.
Menurutnya, soal pembangunan menjadi antara usaha yang akan dititik beratkan sekiranya diberi tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pekan.
“Saya juga akan meningkatkan kualiti kemudahan awam dan menyediakan perumahan untuk golongan muda dan generasi kedua peneroka FELDA.
“Selain itu, saya akan pastikan generasi muda mendapat lebih banyak peluang pekerjaan dengan membawa masuk pelaburan baharu ke kawasan Pekan,” tambahnya. – MOHD IMRAN IZZAD