Calon penuntut IPTA diajar isi UPUOnline

Calon penuntut IPTA diajar isi UPUOnline

BERA: Kira-kira seribu pelajar menyertai Program B40 UPU2U 2022 Zon Pahang di Dewan Kompleks Rakan Muda, di sini, semalam.

Program itu dianjurkan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pengarah BKPA Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Wahi Nordin, berkata program itu memberi pendedahan dan pemahaman khusus kepada semua golongan terutama B40 yang menghadapi kesukaran mengakses maklumat secara dalam talian.

Katanya, mereka yang menyertai program itu turut berpeluang mendapatkan maklumat terperinci mengenai cara mengisi UPUOnline dan menggunakan kembali kefahaman itu bagi mengisi permohonan kemasukan ke universiti.

“Kita menyediakan laluan khas dalam kemasukan ke IPTA. Antara golongan berkenaan ialah anak Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), atlet dan anak kumpulan berpendapatan B40.

“Calon UPUOnline dalam kumpulan ini tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana, hanya perlu menepati syarat am dan khas yang ditetapkan oleh institusi dan akan disaring dalam kelompok masing-masing sahaja,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN