Cameron Highlands destinasi pelancongan ketiga paling popular di Pahang

Cameron Highlands destinasi pelancongan ketiga paling popular di Pahang

Oleh Husin Ibrahim

CAMERON HIGHLANDS: Rancangan kerajaan negeri bagi membina laluan alternatif utama atau laluan tambahan ke Cameron Highlands dijangka merancakkan lagi aktiviti pelancongan di pusat peranginan tanah tinggi ini. 

   Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kajian lanjut sedang dilaksanakan dengan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar untuk tempoh jangka pendek dan panjang. 

   Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa mengutamakan aspek penjagaan alam sekitar dalam setiap projek pembangunan, termasuk pembinaan laluan alternatif ini.

   Beliau berkata, jalan tambahan yang sedang dalam perancangan itu merangkumi lalauan dari Ringlet ke Tanah Rata dan Kampong Raja ke Brinchang.

   Menurutnya, ini disebabkan laluan yang sedia ada terlalu padat dengan kenderaan terutama pada hujung minggu berikutan pertambahan jumlah pengunjung ke kawasan peranginan terkenal ini.

   “Kita jangka dengan adanya laluan tambahan atau jalan alternatif ini akan melancarkan perjalanan ke tempat tertentu seperti Brinchang dan Tanah Rata yang popular dengan produk pelancongan yang sedia ada,” katanya.

   Wan Rosdy berkata demikian pada majlis pembukaan Hotel Zenith Cameron di Tanah Rata, di sini, pada Jumaat. 

   Hotel Zenith Cameron merupakan hotel ketiga dalam rangkaian Hotel Zenith yang lahir di Pahang dan kini bertapak di Kuantan dan Putrajaya.

  Turut hadir, YAM Tengku Arif Temenggung Tengku Fahd Muadzam Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Pengerusi Hotel Zenith Cameron, Pengerusi Eksekutif Zenith Aim Sdn Bhd, Dato’ Sri Tew Kim Thin, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

   Menteri Besar berkata, Cameron Highlands adalah destinasi ketiga paling ramai menerima kunjung pelawat selepas Genting Highlands dan Kuantan.

   Katanya, Cameron Highland dikunjungi 700,000 pelancong sepanjang tahun lalu manakala bandar raya Kuantan (1.62 juta) dan Genting Highlands merekodkan 3.38 juta pelawat.