Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
Cameron Highlands: Selepas hampir dua tahun sepi, kini Cameron Highlands kembali ‘panas’ dengan kunjungan orang ramai, susulan kebenaran rentas negeri dab cuti perayaan Deepavali.
Pelbagai jenis kenderaan kelihatan berduyun-duyun memasuki kawasan peranginan tanah tinggi itu dengan kebanyakan hotel dan inap desa penuh ditempah sejak seminggu.
Malah, jalan utama ke daerah ini sesak sehingga sukar mencari tempat meletakkan kenderaan.
Pengusaha kebun strawberi di Taman Sedia, Zulkifli Zahari, 61, berkata kedatangan pelancong yang ramai seolah-olah memberi nafas baru kepada pengusaha sepertinya.
“Keadaan kembali meriah dengan pengunjung yang melihat buah strawberi sambil menjamu selera selepas hampir dua tahun sepi,” katanya.
Pengunjung, Zahari Alias, 48, dari Pasir Mas, Kelantan, berkata dia datang ke situ bersama isteri dan empat orang anaknya selepas hampir dua tahun tidak membawa keluarga bersiar-siar.
“Saya berhasrat bermalam di sini selama tiga hari dua malam. Meskipun terpaksa mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan, ia tidak menghalang kami bercuti,” katanya.
Bagi Alias Shamsuddin, 65, dari Pekan, kedatangan pelancong memeriahkan semula suasana di situ, sekali gus membuka pintu rezeki kepada peniaga yang sebelum ini tidak dapat berniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Diharapkan peniaga di sini tidak mengambil kesempatan atas kedatangan pelancong yang ramai untuk menaikkan harga barangan jualan terutama buah-buahan seperti strawberi dan jagung,” katanya.