Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@fikrahpahang.gmail.com
CAMERON HIGHLANDS: Kira-kira tujuh puluh peratus daripada 32,000 penduduk Cameron Highlands selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 sejak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mula beroperasi di Puncak Arabella, di sini, Mei lalu.
Kesemua penduduk di kawasan pelancongan tanah tinggi itu dijangka lengkap menerima kedua-dua dos vaksin menjelang hujung Ogos ini.
Ketua PPV Cameron Highlands, Dr Yu Kong Siong berkata, proses vaksinasi penduduk di Cameron Highlands lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.
Menurutnya, proses vaksinasi yang bertujuan mencapai imuniti kelompok menjadi lebih pantas apabila Sukarelawan Vaksin Malaysia (MyVAC) melakukan program ‘outreach’ ke rumah penduduk yang belum menerima suntikan vaksin.
Selain itu, katanya, kira kira dua ribu penduduk Orang Asli di Cameron Highlands turut sudah menerima suntikan vaksin dos pertama hasil program outreach yang dijalankan di perkampungan Orang Asli.
Menurutnya, kira-kira 10,000 warga asing yang bekerja di tanah tinggi itu dijangka menerima vaksin selepas selesai vaksinasi ke atas semua penduduk Cameron Highlands.
Sehingga ini, katanya, pihaknya sudah menerima lima ratus permohonan warga asing menerusi aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan tarikh temujanji vaksinasi.