Cantiknya mural baru di pusat bandar Kuantan

Cantiknya mural baru di pusat bandar Kuantan

Cantiknya mural baru di pusat bandar Kuantan

 Oleh Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan peruntukan RM500,000 bagi  menghasilkan seni mural sepanjang 122 meter serta menaik taraf lorong utama di antara Jalan Besar dan Jalan Mahkota, di sini.

  Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, projek kali pertama dilakukan itu antara usaha mengindahkan lagi bandar ini yang bakal dinaik taraf sebagai bandar raya pada tahun ini.

  Menurutnya, mural sepanjang 122 meter itu bakal menjadi antara produk pelancongan yang terkenal di daerah ini selepas Menara Kuantan 188, pantai Teluk Chempedak, Zoo Mini Teruntum, Muzium Seni  dan Muzium Sungai Lembing. 

  Katanya, dengan siapnya mural itu nanti pelancong tempatan berpeluang mengimbau nostalgia pelbagai produk yang pernah wujud di daerah ini sejak era 70-an seperti peniaga burger, premis menjual kain, bas henti-henti, penjual akhbar, kanak- kanak bermain permainan tradisional, rama-rama besar dan pengangkutan beca.

  “Kita juga turut memaparkan lukisan tempat menarik dan bersejarah di negeri ini sebagai tontonan pelancong tempatan dan asing yang berkunjung di sini.

  “Lebih banyak produk pelancongan akan dihasilkan secara berperingkat dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, seramai 

14 anak muda profesional tempatan terbabit menghasilkan seni mural sepanjang 122 meter itu yang mengambil masa 10 hingga 14 minggu untuk menyiapkan hasil seni itu.

  Tambahnya, sempena perisytiharan Kuantan sebagai bandar raya imej maju dan menarik perlu dipaparkan dalam pelbagai sektor terutama pelancongan, pengurusan, kemudahan dan perkhidmatan.

  Norkamawati berkata, difahamkan kehadiran pelancong ke daerah ini semakin bertambah terutama selepas kerajaan melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lokasi menarik di bandar ini semakin ramai pengunjung dan sektor perniagaan sudah mula rancak kembali.

  “Menara Kuantan yang mempunyai ketinggian 180 meter akan dibuka tahun ini sekali gus menjadikannya menara tinjau tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta di Mersing, Johor.

  “Ia juga menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur yang membolehkan pelancong melihat pemandangan bandar Kuantan bila berada dipuncak Menara Kuantan,” katanya.

Tamat/othman