KUANTAN: Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dijangka mengutip RM3.5 juta hasil jualan nombor pendaftaran khas kenderaan bermula dari UC 1 hingga 9999 yang bakal dilancarkan Januari 2022.
Pengerusi Yayasan UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata pelancaran nombor pendaftaran UC 1-9999 itu dilakukan sempena sambutan ulang tahun UMP ke-20, pada 2022.
Abdul Aziz yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UMP berkata, hasil jualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu akan digunakan untuk kegunaan kebajikan penuntut universiti itu.
“Ia termasuk membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan menyediakan kemudahan pembelajaran tambahan yang digunakan penuntut.
“Nombor pendaftaran UC 1 hingga 9 bermula dengan nilai bidaan RM200,000,” katanya pada sidang media selepas majlis memorandum perjanjian (MoA) antara Yayasan UMP dan Aquatwo, di sini, hari ini, yang turut hadiri, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.
Abdul Aziz berkata, tawaran nombor pendaftaran itu terbuka kepada orang awam secara bidaan selepas selesai proses pewartaan.
“Kita sasar RM3.5 juta. Ia akan dikendalikan syarikat yang dilantik iaitu Aquatwo Sdn Bhd, yang bertanggungjawab terhadap pengoperasi proses bidaaan, pemasaran dan operasi jualan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN