CBS Taman Kerang kembali bernyawa

CBS Taman Kerang kembali bernyawa

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar oleh Zulkepli Osman

KUANTAN: Aktiviti perniagaan di ‘Car Boot Sale’ (CBS) Jalan Mahkota atau lebih dikenali CBS Taman Kerang, di sini, semakin pulih seperti sediakala.

Pengurus kawasan perniagaan itu, Ahmad Faizal Mat Yatim, berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi pembabitan peniaga dan kunjungan orang ramai.

“Ketika mula dibuka semula penghujung Ogos lalu, jumlah peniaga di sini turun mendadak berbanding sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dengan hanya 20 hingga 30 peniaga sahaja membuka gerai, manakala pengunjung boleh dikira dengan jari.

“Tapi sejak Pahang masuk ke Fasa 4 PPN (Pelan Pemulihan Negara), dan perniagaan dibenarkan bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam, peniaga mula memeriahkan CBS Taman Kerang ini sehingga lebih 100 peniaga berniaga setiap malam, manakala pengunjung mencecah 2,000 orang, atau hampir menyamai ketika pasca Covid-19 dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda ke CBS Taman Kerang di sini, malam tadi. 

Menurut Ahmad Faizal, beliau mendapat maklum balas baik daripada peniaga yang rata-ratanya menyatakan rasa syukur apabila aktiviti perniagaan mereka kembali rancak.

“Ada peniaga yang berniaga dua hingga tiga jam sahaja sebab jualan mereka habis cepat terutama ketika hujung minggu iaitu Khamis hingga Sabtu.

“Keadaan ini tentunya menggembirakan peniaga yang mana lebih separuh daripada mereka berniaga sepenuh masa,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperbanyakkan penganjuran CBS di tempat lain pula bagi membolehkan orang ramai menambah ‘duit poket’ terutama selepas terpaksa menempuh cabaran hidup akibat Covid-19.