Cecah juga 24,000 kes COVID-19, hari ini

Cecah juga 24,000 kes COVID-19, hari ini

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jumlah kes baharu COVID-19 mencatatkan 24,599 kes, hari ini, berbanding 22,642, semalam, iaitu tertinggi sejak kes wabak pandemik dikesan di negara ini, pada awal 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook, berkata penambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 1.64 juta kes.

Katanya, Selangor masih kekal merekodkan kes tertinggi iaitu 6,936 kes, diikuti Sabah dengan 3,487 kes, Johor (2,785), Pulau Pinang (2,078), Sarawak (2,024), Kedah (1,538), Kelantan (1,312), Perak (1,170) dan Kuala Lumpur (881).

“Selain itu, Pahang mencatatkan 690 kes, Terengganu (567), Negeri Sembilan (526), Melaka (515), Perlis (67), Putrajaya (20) dan Labuan (tiga),” katanya.

Pada 16 Julai lalu, Dr Noor Hisham dipetik sebagai berkata kes harian COVID-19 di Malaysia dijangka mencecah 24,000 pada pertengahan September depan. 

Beliau menjelaskan bahawa unjuran itu berdasarkan kadar kebolehjangkitan (RT) pada ketika itu adalah 1.2.

Bagaimanapun, katanya, kes harian positif COVID-19 dijangka turun di bawah 1,000 kes setiap hari menjelang Oktober.