Cemas rumah ditimpa tanah runtuh

Cemas rumah ditimpa tanah runtuh

JERANTUT: “Saya terkejut sebab hangat. Saya dapati kipas dah rak berpusing. Rupa-rupanya tiada bekalan elektrik. 

“Saya bangun untuk menghidupkan semula elektrik, ” kata Abdul Kassim Sulaiman, 75, di Kampung Perlok, Hulu Cheka, dekat sini, menceritakan kejadian tanah runtuh yang menimpa dapurnya.

Abdul Kassim berkata, ketika menuju ke kotak suis, beliau tergerak hati untuk melihat di luar rumah sama ada jiran juga terputus bekalan elektrik atau kejadian itu hanya membabitkan rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau terkejut apabila melihat tanah sudah menimpa dinding bahagian dapur dan sisi rumah apabila membuka pintu dapurnya. 

“Saya kemudian kejut anak, menantu dan cucu untuk pergi ke bilik lain. Tiba-tiba ternampak air masuk ikut celah dinding konkrit. 

“Anak lelaki saya terus membawa isteri dan anaknya  keluar rumah untuk menumpang di  rumah berdekatan. Saya bersyukur semua selamat. Saya anggarkan hampir separuh daripada rumah saya ranap,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah turut melawat rumah yang hampir ranap ditimpa tanah runtuh itu. 

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Yunus Mohammad Abdul Rahman Japar dan  Penghulu Mukim Hulu Cheka, Khairul Akhma. 

Nazri berkata, penilaian kerugian sedang diteliti untuk membantu keluarga Abdul Kassim. –  MUHAMMAD NAJMIE