Cemerlang berkat baca al-Quran

Cemerlang berkat baca al-Quran

KUANTAN: Amalan membaca al-Quran setiap hari ternyata menjadi ‘tonik’ paling ampuh buat Muhammad Asyraf Azhar, 18, pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini apabila memperoleh 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Susulan pencapaian cemerlang itu, Muhammad Asyraf dinobatkan pelajar terbaik MTNP bagi SPM 2021.

“Memang setiap hari saya pastikan membaca ayat suci al-Quran, paling malas pun satu muka sehari. Sesungguhnya amalan itu menjadikan saya tenang dan setiap perkara jadi mudah untuk dilaksanakan.

“Walaupun sibuk dan banyak tugasan serta tanggung jawab perlu dilaksanakan semua jadi semacam mudah sahaja,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM MTNP 2021 di Dewan Mahkota MTNP di Tanjung Lumpur di sini, hari ini.  

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa menyampaikan slip keputusan kesemua A dalam peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 kepada pelajar Mahaad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Nadhil Alias.

Muhammad Asyraf yang pernah memenangi Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar Musleh 2021 berkata, pengurusan masa yang baik juga menjadi antara faktor yang membolehkannya mencatat keputusan cemerlang dalam SPM. 

“Berbeza dengan sekolah aliran perdana, sistem pembelajaran di sini (MTNP) memfokuskan tiga perkara utama iaitu menghafaz al-Quran, bidang akademik dan kokurikulum.

“Saya perlu bahagikan masa sebaiknya. Sebelah pagi saya tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan petang bersukan kemudian malam hari saya ‘study’ (belajar) sehingga jam 12 tengah malam. Paling penting saya tak lupa baca al-Quran,” jelas anak ketiga daripada empat beradik itu.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, remaja yang menetap di Tanah Putih, Pekan itu berkata, dia ingin meneruskan pengajian di luar negara dalam bidang komputer sains.

“Saya bercita-cita menjadi jurutera AI (kecerdasan buatan) dan ingin menyambung pelajaran sama ada di Amerika Syarikat (AS), UK (United Kingdom) atau Jepun,” katanya yang ditemani ayah, Azhar Jamil, 56, dan ibu, Nor Salwa Abdul Ghafar, 45.  

Seramai 13 pelajar MTNP mencatat keputusan A penuh dalam keputusan SPM 2021, manakala sebanyak 87.7 peratus memperoleh sekurang-kurangnya 7A. – HELMY ABD RAHMAN