Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Percubaan ibu tunggal, Norita Johari, 35, mengubah hidup keluarga dengan mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu sejak setahun lalu kini membuahkan hasil.
Menurutnya, tiada pengalaman tidak menghalang dia memberanikan diri mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM6,000 bagi mendirikan rumah simpanan dan menyediakan 400 bongkah cendawan yang dibeli daripada seorang pembekal.
Katanya, untuk menjimatkan perbelanjaan bagi membina rumah simpanan cendawan, dia turut sama membantu tukang rumah dan ternyata usaha itu walaupun memenatkan, memberi kepuasan sebaik rumah berkenaan siap.
“Selepas berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, kini saya mula meraih kejayaan walaupun tidak seberapa kerana kekangan modal.
“Saya sekarang mampu meraih antara 10 hingga 15 kilogram (kg) cendawan tiram kelabu sehari hasil keluaran 3,500 bongkah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dia yang mengusahakan tanaman cendawan di Kampung Cendering, di sini berkata, bantuan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan untuk rumah simpanan dan 3,500 bongkah menambahkan lagi semangatnya untuk berjaya dalam bidang berkenaan.
Norita yang memiliki Ijazah Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata dia kini memiliki beberapa pelanggan tetap yang membeli cendawan setiap hari, berbeza ketika awal dulu yang memerlukan dirinya menjaja ke kedai.
Katanya, cabaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini ialah apabila cendawan dihasilkan tidak dapat dipasarkan kerana banyak restoran tutup.
“Seronok menanam cendawan kerana selain kos tak seberapa ia tidak memerlukan baja, cuma dalam rumah simpanan perlu sentiasa berada dalam keadaan lembab dan bersih.
“Saya bercita-cita membesarkan lagi projek tanaman cendawan ini seterusnya menjadi pusat pengajaran dalam kalangan mereka yang berminat. Untuk itu bantuan daripada agensi amat diperlukan,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun.