PERSEMBAHAN menyakinkan beberapa pemain muda Sri Pahang terutama yang kali pertama beraksi dalam saingan Liga Super mendapat perhatian pengurusan Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC).
Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata komitmen dan semangat juang pemain muda adalah permulaan positif buat skuad Tok Gajah.
Katanya, kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Christophe Gamel dibuktikan dengan penampilan menyakinkan.
“Saya percaya jika pemain muda ini baik, mereka boleh berada dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan. Mereka juga sudah membuktikannya ketika seri 2-2 ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 18 Mei lalu.
“Daripada segi pengurusan kelab, kita sentiasa memberikan sokongan kerana mereka juga adalah anak jati Pahang,” katanya.
Antara pemain muda mempamerkan persembahan menyakinkan dan mendapat perhatian ialah Mohammad Saiful Jamaluddin, Hasnul Zaim Zafri, Muhammad Syaahir Saiful Nizam, Muhammad Nur Izzat Che Awang dan Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN