Ceroboh hutan kerajaan nak tanam Musang King

Ceroboh hutan kerajaan nak tanam Musang King

JERANTUT: Unit Penguatkuasa Barat (UPKB) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan kegiatan menceroboh  tanah kerajaan di Sungai Rengat Mukim Ulu Cheka, di sini, kelmarin.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP,  Shahril Mohamad berkata, kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan bagi mengusahakan tanaman durian Musang King.

Katanya, ketika serbuan dilakukan pihaknya menemui lelaki berumur 57 tahun yang sedang membersihkan kawasan hutan menggunakan jengkaut berwarna biru muda.

“Semakan mendapati kawasan berkenaan yang dibersihkan adalah kira-kira 30 hektar iaitu tanah kerajaan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jerantut Tambahan.

“Individu terbabit turut menebang beberapa pokok balak. Kita menemui 18 tual balak spesies meranti dan sesenduk yang sedia untuk dipindahkan,” katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Shahril berkata, pihaknya menyerahkan kes tanah kerajaan di Sungai Rengat Mukim Ulu Cheka kepada Unit Penguatkuasa Negeri Pahang untuk tindakan undang-undang.- MOHD IMRAN IZZAD.