Ceroboh hutan simpan nak tanam kelapa sawit

Ceroboh hutan simpan nak tanam kelapa sawit

RAUB: Tiga jentera disita manakala seorang lelaki ditahan apabila didapati menceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Shahril Mohamad berkata, pihaknya merampas satu jentolak dan dua jengkaut. 

Katanya, pemeriksaan mendapati semua jentera itu berada dalam kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal dan dipercayai digunakan untuk membina jalan dan pembersihan hutan untuk ditanam dengan kelapa sawit. 

“Ketika pemeriksaan dilakukan tiba-tiba muncul lelaki yang mendakwa jentera terbabit miliknya. Oleh itu, kita bertindak menahannya bagi tujuan siasatan. Laporan polis turut dibuat berikutan pencerobohan itu.

“Kita turut menemui tiga kayu jaras spesies Chengal dipercayai ditebang oleh penceroboh hutan berkenaan. Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dihubungi, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD