Ceroboh hutan simpan untuk melombong bijih besi

Ceroboh hutan simpan untuk melombong bijih besi

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

Gambar Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Unit Penguat kuasa Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya melumpuhkan kegiatan melombong bijih besi secara haram dalam Hutan Simpan Papai, di sini, kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan, pasukan penguat kuasa diketuai Pengawas Hutan, Ahmad Yunus Mohd Jama, menemui jengkaut berwarna kuning yang digunakan sendikit terbabit menjalankan aktiviti tanpa lesen itu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad, berkata kegiatan melombong secara haram itu berlaku di Kompatmen lapan Hutan Simpan Papai.

Menurutnya, kegiatan melombong di kawasan terbabit dipercayai masih baharu dan dilakukan beberapa individu yang mempunyai rangkaian dengan pihak lain.

Individu terbabit juga, katanya, dipercayai mahir dalam menentukan kedudukan bahan galian berkenaan.

Katanya lagi, beberapa lubang ditemui dalam kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar selain beberapa longgok dipercayai bijih besi turut ditemui di situ yang menunggu masa untuk dipindahkan.

“Kawasan lombong berkenaan terletak berhampiran kampung kecil Orang Asli yang telah ditinggalkan dan mempunyai jalan perhubungan yang baik sekali gus memberi kelebihan untuk kegiatan melombong haram itu.

“Sindiket berkenaan dipercayai tidak melakukan kerja melombong sejak beberapa hari disebabkan jengkaut yang digunakan untuk kegiatan itu rosak dan mereka dalam proses membaikinya,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini berusaha mengesan individu yang terbabit dengan kegiatan melombong secara haram itu.

“Mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kami juga bertindak menyita jengkaut berkenaan yang kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab sebelum sebarang tindakan dibuat selepas ini,” katanya.