ROMPIN: Operasi memindahkan gajah jantan yang tersesat di kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri, di sini Ahad lalu menjadi ujian pertama buat gajah denak bernama Cheri menjalankan tugas.
Ternyata gajah betina berusia 20 tahun itu lulus dengan cemerlang dan akan diberi tanggungjawab sama dalam operasi lain selepas ini.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata pihaknya berpuas hati dengan kemampuan Cheri menjalankan tugas pertamanya bersama seekor lagi gajah denak bernama Kasturi.
Menurutnya, Cheri dikawal sepenuhnya oleh mahut, Ridzuan Mohamad, 30, yang bertanggungjawab menjaga serta melatih haiwan terbabit di PKGK Kuala Gandah sejak lebih setahun lalu.
Katanya, walaupun kali pertama bertugas dilapangan dengan mengawal seekor gajah jantan dengan berat kira-kira 1.5 tan metrik, namun Cheri mampu mengikut setiap arahan yang diberikan.
“PKGK Kuala Gandah kini mempunyai enam gajah denak untuk menjalankan tugas dalam setiap operasi memindahkan gajah liar yang ditangkap.
“Antara gajah denak yang terdapat di PKGK Kuala Gandah ialah Alam, Abot, Rambai, Kasturi, Siti dan Lasah 1,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, usaha menambah lebih banyak gajah denak akan terus dilakukan setiap tahun menggunakan gajah terpilih.
“Gajah denak tidak boleh menyertai operasi memindahkan gajah liar terlalu kerap bagi mengelakkan haiwan itu penat hingga mengundang kejadian tidak diingini.
“Gajah denak perlu digilirkan setiap kali terbabit dengan operasi, setiap kali operasi memindahkan gajah liar dua gajah denak diperlukan untuk tugas mengiringi dan menarik,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.