CHiMP dipulangkan semula kepada JPNP 

CHiMP dipulangkan semula kepada JPNP 

CAMERON HIGHLANDS: Tapak projek Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) yang sebelum diuruskan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini diserahkan semula kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pengarah JPNP, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, projek CHiMP tamat pada 31 Disember 2020 dan Kerajaan Pahang membuat keputusan bahawa tapak projek CHiMP perlu diserahkan semula kepada JPNP.

Katanya, Kerajaan Pahang sudah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan dan melindungi sumber biodiversiti. 

“Perbadanan Taman Negeri Pahang akan berfungsi sebagai penasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri mengenai perkara berhubungan dengan dasar umum berkaitan pemeliharaan, pergunaan, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang. 

“Dalam hal ini, kebanyakan kawasan Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri dan kawasan pendakian berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) akan diambil alih oleh Perbadanan Taman Negeri Pahang.

“Bagaimanapun, jabatan berharap agar aspek pengurusan dan pentadbiran kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpanan Kekal akan terus kekal di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa JPNP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Projek CHIMP 

di TER Parit Fall, di sini, kelmarin.

Turut menyaksikan penyerahan itu adalah Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Indera Mohd Ridza Awang, dan Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan. –  MOHD IMRAN IZZAD