Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kadar vaksinasi Covid-19 bagi sejumlah 25,476 guru di Pahang kini mencecah 97 peratus sekali gus mencapai imuniti kelompok.
Sehubungan itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan baki tiga peratus yang masih belum divaksin supaya memberi kerjasama untuk berbuat demikian.
“Saya juga nak ambil kesempatan untuk pesan kepada mereka yang masih belum mengambil vaksin lagi, supaya beri kerjasama, tampil ke hadapan kerana ini untuk kemudahan mereka juga.
“Sekarang ini kalau nak makan di restoran kena dapat dua dos (vaksin), begitu juga kalau nak rentas negeri atau nak pergi ‘shopping mall’ (pusat beli-belah)… jangan menyusahkan diri sendiri dan kita tak mahu mereka yang tak dapat suntikan ini jadi pembawa kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan STPM 2020 di Auditorium, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.