Cikgu masih ada masa untuk pergi ambil suntikan vaksin

Cikgu masih ada masa untuk pergi ambil suntikan vaksin

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 301 guru sekolah rendah dan menengah di Pahang masih belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, guru yang belum berbuat demikian masih diberi peluang sebelum 1 November depan.

“Selepas tarikh itu, kita akan tahu jumlah sebenar guru sama ada mereka mengambil suntikan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Permuafakatan Pahang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan JPNP di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri.

Mengulas pemberian dos pertama bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Pahang, beliau berkata, 85.21 peratus remaja sudah divaksinasi melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, berdasarkan peratusan itu, ia amat membanggakan kerana mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekolah, ibu bapa dan murid.