Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Usaha menyediakan makanan percuma kepada golongan memerlukan termasuk gelandangan oleh Dapur Infaq Ummah seharusnya dipuji.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin berkata, kesungguhan yang ditunjukan Dapur Infak Umah seharusnya menjadi contoh pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di negeri ini.
Katanya, kesungguhan membantu golongan memerlukan begitu gigih dilakukan hasil sokongan dan kerjasama pelbagai pihak membabitkan agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Saya difahamkan bantuan makanan sebelum ini diberikan pada bulan Ramadan sahaja namun kini disediakan sepanjang masa, sukarelawan Dapur Infaq Ummah akan menghantar makanan ke beberapa lokasi di bandar raya ini.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka juga tampil menghulurkan bantuan demi kelangsungan hidup golongan memerlukan terutama di kawasan bandar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pada
Majlis Perasmian Dapur Infaq Ummah Central Kitchen di Bandar Indera Mahkota, di sini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar dan Pengerusi Dapur Infaq Ummah, Nor Hamizi Jamaluddin.
Pada majlis berkenaan diadakan perjanjian persefahaman (MoU) antara Dapur Infaq Ummah dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang akan menyediakan perkhidmatan penghantaran pesanan makanan yang disediakan Dapur Infaq Central Kitchen.
Beliau menambah, kerajaan negeri berusaha membantu.NGO bagi memberi peluang kepada mereka mengadakan apa juga program bersama masyarakat.
Shahaniza berkata, kali ini kerajaan negeri memberi bantuan sebanyak RM20,000 kepada Dapur Infaq Ummah untuk mereka mengadakan apa juga program yang sesuai.
Sementara itu Nor Hamizi atau PU Mizi berkata, sejak Dapur Infaq Ummah ditubuhkan pada 2018, pihaknya mengagihkan lebih 200,000 bekas makanan kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.
“Kita menyediakan makanan untuk sesiapa sahaja, gelandangan, pondan, miskin termasuk mereka yang berada di lorong gelap.
“Makanan diperlukan oleh semua manusia tanpa mengira darjat dan di mana mereka tinggal,” katanya yang turut menerima bantuan kewangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).