Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Terdapat enam kes kematian akibat jangkitan COVID-19 direkodkan di Pahang hari ini, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 89 kes.
Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, sebanyak tiga kes membabitkan daerah ini, Bentong (dua) dan Jerantut (satu).
![](https://fikrahpahang.com.my/wp-content/uploads/2021/06/ABC52187-98E3-4FE8-A7AA-AFC31D2350E4-989x1024.jpeg)
“Kes kematian ke-84 membabitkan lelaki Melayu berusia 66 tahun dari Kampung Baru, Bentong; kes ke-85 wanita Melayu, 35, dari Kampung Sri Damai, Kuantan; Kes ke-86 wanita warga emas Melayu, 84, dari Rumah Kilat Jalan Kuala Lumpur, Bentong.
“Kes kematian ke-87, lelaki berbangsa India, 44, dari Taman Raya Wira, Jerantut; kes ke-88 pula wanita warga emas Cina, 74, dari Jalan Kubang Buaya, Kuantan, manakala kes kematian ke-89 seorang lelaki Melayu, 47, dari Taman Perdana Mahkota 3, Indera Mahkota 14, Kuantan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kes jangkitan baharu di Pahang hari ini mencatatkan penurunan iaitu 89 kes berbanding 112 kes, semalam.
“Sehingga jam 5 petang tadi, sebanyak 89 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Pahang kini mencecah 11,415 kes.
“Daripada kes baharu yang didaftarkan hari ini, 60 kes membabitkan rakyat tempatan, manakala 29 kes warga asing,” katanya.
Menurutnya, sebayak sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes dengan yang tertinggi dicatatkan di Kuantan sebanyak 23 kes, diikuti Bera (19 kes), Cameron Highlands (15 kes), Temerloh (11 kes), Jerantut dan Rompin (masing-masing enam kes), Lipis (lima kes) dan masing-masing dua kes di Bentong dan Maran.
“Sehingga jam 12 tengah hari, sebanyak 887 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital di negeri ini dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID- 19 (PKRC).
“Terdapat 21 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 12 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan sembilan lagi di ICU Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dengan lapan kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.