SRI Pahang mengesahkan menarik diri berdepan Kuala Lumpur (KL) City pada perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan, Khamis ini.
Menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu hari ini, Sri Pahang FC (Sri Pahang) memaklumkan keputusan berkenaan dilakukan selepas beberapa pemain skuad Tok Gajah itu didapati positif COVID-19.
“Dengan berat hati, dimaklumkan bahawa Sri Pahang telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada beraksi di perlawanan persahabatan pramusim Piala Menteri Wilayah Persekutuan menentang KL City pada 17 Februari ini
“Keputusan ini terpaksa diambil setelah beberapa pemain kami disahkan positif COVID-19 dan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin wajib,” Sri Pahang dipetik berkata.
Sri Pahang FC juga memberitahu bahawa kelab itu memahami keputusan berkenaan mengecewakan penyokong namun kesihatan dan keselamatan awam serta semua yang bakal terbabit dalam perlawanan itu menjadi keutamaan pada ketika ini.
“Kami juga memohon maaf kepada penganjur atas keputusan minit akhir ini dan mengharapkan persiapan KL City untuk aksi Piala Sumbangsih pada 26 Februari tetap berjalan lancar, terima kasih,” jelas hantaran itu.
Berdasarkan jadual perlawanan, Sri Pahang akan berdepan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada jam 9.30 malam, Khamis ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN