COVID-19 ragut tiga nyawa lagi di Pahang

COVID-19 ragut tiga nyawa lagi di Pahang

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Sumber Infografik dari KKM

KUANTAN: Dua nenek masing-masing berusia 80 dan 89 tahun serta seorang lelaki 53 tahun, dilaporkan menemui ajal hari ini selepas dijangkiti COVID-19, menjadikan jumlah kematian terkumpul di negeri ini mencecah 50 orang.

  Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, kes kematian ke-48 adalah seorang wanita warga emas berusia 80 tahun dari Mukim Tembeling, Jerantut.

  “Pada 10 Mei lalu, mangsa dilaporkan mula mengalami gejala demam dan selesema sebelum menerima rawatan di Hospital Jerantut pada 13 Mei apabila keadaannya semakin teruk.

  “Mangsa disahkan positif COVID-19 pada 15 Mei dan kemudian dipindahkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

  “Mangsa didapati tidak sedarkan diri awal pagi tadi dan disahkan meninggal dunia jam 2.53 pagi,” kata JKNP, hari ini.

  JKNP menambah, kes kematian ke-49 pula menimpa seorang lelaki berusia 53 tahun dari Mukim Kuala Kuantan 2, di sini.

  “Mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan dilaporkan bergejala demam, batuk serta sakit badan pada 8 Mei lalu sebelum disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei.

  “Keadaan mangsa menjadi kritikal secara tiba-tiba pada malam 18 Mei dan dia kemudian dirujuk ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) Kuantan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang, hari ini,” katanya.

  Menurut JKNP, kes ke-50 membabitkan seorang wanita warga emas berusia 89 tahun dari Mukim Triang 1, Bera.

  “Mangsa mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan sebelum ini terlantar. Kes (mangsa) terdedah kepada ahli keluarga yang dikesan positif COVID-19 pada 17 Mei lalu.

  “Mangsa tidak mempunyai gejala namun didapati tidak sedarkan diri pada petang 20 Mei lalu oleh anaknya dan dibawa ke HOSHAS. Warga emas itu didapati tidak sedarkan diri pada awal pagi hari ini dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.53 pagi,” katanya.

  Dalam perkembangan sama, JKNP melaporkan, Pahang mencatatkan sebanyak 257 kes jangkitan baharu dan dua lagi kluster baharu hari ini.

  “Dua kluster baharu itu membabitkan Kluster Taman Teratai dan Kluster KM6 Jalan Lipis, Raub,” katanya.