Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Semua urusan kaunter perkhidmatan pejabat persekutuan dan negeri yang membabitkan urusan awam di Pahang, ditangguhkan buat sementara mulai esok hingga 14 Februari ini dan orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan online.
Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Pahang (JPBNP) dalam satu kenyataan berkata, langkah berkenaan diambil berikutan situasi terkini dan kluster-kluster baharu COVID-19 yang timbul daripada penularan di tempat kerja serta sukarelawan bantuan pasca banjir di negeri ini.
Menerusi kenyataan itu, JPBNP memaklumkan, keutamaan kehadiran ke pejabat adalah kepada kakitangan membabitkan perkhidmatan perlu (essential services) yang ditentukan ketua jabatan
masing-masing, manakala kakitangan lain pula bekerja dari rumah (BDR).
“Bagi pihak swasta yang disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu, pengoperasian adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negera (MKN) iaitu membabitkan 30 peratus kehadiran bagi pihak pengurusan.
“Penguatkuasaan pematuhan SOP di tempat kerja awam dan swasta akan dilaksanakan serta-merta,” kata JPBNP, hari ini.
Menurut JPBNP lagi, tarikh akhir penghantaran bantuan pasca banjir yang dipohon melalui sistem ebanjir.pahang.gov.my adalah pada 5 Februari 2021.
“Kerajaan Pahang juga akan menguatkuasa had perjalanan radius 10 kilometer (km) radius daripada kediaman seperti ditetapkan MKN serta-merta bagi mengehadkan pergerakan dan seterusnya mengekang penularan,” katanya.