Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Lima Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pahang kini menempatkan 677 pesakit, setakat semalam.
Daripada jumlah itu, PKRC Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) merekodkan seramai 178 pesakit, diikuti 198 pesakit di Institusi Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (ILPKT) Bukit Tinggi, Bentong.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan pula merekodkan 254 pesakit.
Katanya, seramai 36 pesakit berada di asrama jururawat Hospital Jengka, Maran dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) menempatkan 11 pesakit.
“KUIPSAS adalah PKRC terbaharu dibuka semalam, yang mempunyai kapasiti 60 katil. Secara keseluruhannya, lima PKRC kini dilengkapi dengan 855 katil dan masih berbaki lagi 178 katil,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, sebuah lagi PKRC iaitu Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, dekat sini, dijangka dibuka minggu ini yang menyediakan sebanyak 500 katil.
Sementara itu, Che Adam berkata, PKRC ILPKT Bukit Tinggi dan KUIPSAS turut dijadikan pusat kuarantin.
“Tiga lagi pusat kuarantin yang dibuka ialah di Institut Aminuddin Baki, Bentong; Cool Point Hotel, Cameron Highlands dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah, Rompin.
PKRC lebih kepada merawat pesakit yang bergejala ringan manakala pusat kuarantin membabitkan individu dalam pengawasan (PUS) terutama mereka yang baru pulang dari luar negara.